Sejak sembilan bulan yang lalu, harga makanan dunia telah meningkat lebih daripada 40% dan kadar simpanan makanan kini pada tahap terendah sejak 30 tahun. Kenaikan mendadak harga makanan kini telah mencapai tahap kritikal terutama bagi negara-negara miskin. Pada 29 Februari 2008, demonstrasi besar-besaran berlaku di Mexico akibat dari kenaikan harga tepung tortilla. Di Senegal, Mauritania dan beberapa negara di Afrika berlaku tunjuk perasaan akibat dari kenaikan harga bijirin. Di Yemen pula, kanak-kanak melakukan demonstrasi untuk menarik perhatian pemerintah mengenai kebuluran kanak-kanak. Di Indonesia, negara yang pada hakikatnya adalah sebuah negara kaya yang mampu menampung keperluan makanannya sendiri, bahaya kebuluran sudah mula mengancam. Pada 13hb Februari yang lalu, FAO telah mengumumkan bahawa akibat dari harga makanan yang naik mendadak, 36 buah negara berada dalam krisis yang amat buruk. Dan di banyak negara lain, ia diburukkan lagi dengan konflik, banjir dan cuaca buruk.
Di antara yang didakwa menjadi sebab utama masalah ini adalah kenaikan harga minyak dan baja, permintaan yang tinggi ke atas tanaman makanan untuk tujuan penjanaan bahan api bio (biofuel) dan simpanan makanan dunia yang rendah di samping alasan yang menjadi isu ‘evergreen’ – pertambahan penduduk dunia yang terlalu cepat berbanding pengeluaran makanan untuk menampung pertambahan ini. Namun, apa yang pelik adalah, tidak pula disebut mengenai masalah ‘pengagihan’, sedangkan kita sedia maklum bahawa sejak dahulu lagi, dalam suasana sebahagian Afrika dalam kebuluran, terdapat lebihan makanan di bahagian utara dunia (Barat). Hakikatnya, masalah kenaikan harga makanan yang sedang melanda dunia ini merupakan akibat dari kedurjanaan sistem kapitalis yang menompokkan kekayaan hanya pada golongan tertentu sahaja. Setiap kali krisis seperti ini berlaku, ada saja perkara lain yang dipersalahkan. Antara yang dipersalahkan adalah pertumbuhan penduduk yang terlalu cepat berbanding dengan pengeluaran makanan yang dapat menampung pertumbuhan tersebut.
Salah satu teori yang kerap digunakan adalah teori yang dikemukakan oleh Thomas Malthus dari Britain dalam kurun ke 18. Beliau menulis sebuah buku bertajuk An Essay on the Principle of Population as it Affects the Future Improvement of Society pada tahun 1798, yang mana di dalamnya dikatakan bahawa populasi manusia akan bertambah secara eksponen manakala pertambahan bahan makanan hanyalah secara aritmetik. Ini bermakna bahawa beberapa ratus tahun selepas zaman Malthus, sebahagian populasi manusia akan mengalami kebuluran dan kekurangan makanan.
Malthus menulis bukunya ketika Britain mempunyai populasi 11 juta dan pada kurun 21, populasi Britain telah bertambah sebanyak 59 juta penduduk, tetapi tidak terdapat mana-mana bahagian Britain yang mengalami krisis kekurangan makanan dan kebuluran yang serius walaupun Britain pada amnya mempunyai keluasan tanah yang tidak begitu besar berbanding dengan negara-negara lain di dunia.
Hakikatnya, pendapat Malthus adalah benar dari segi pertambahan penduduk dunia namun teori beliau ternyata salah dalam meramal bahawa pertumbuhan makanan tidak akan dapat menampung pertambahan penduduk dunia.
Menurut kajian dari UN yang bertajuk United Nations State of Food and Agriculture Reports, sejak Perang Dunia Kedua, makanan dunia telah bertambah sebanyak 30% bagi setiap penduduk dunia. Dan bagi sesetengah negara membangun, pertambahan pengeluaran makanan mencapai 38%. Ini termasuklah Arab Saudi, negara padang pasir yang berada di tempat ke sepuluh dalam pengeluaran gandum, mengeksport AS200 juta dollar gandum setiap tahun.
Menurut kajian UN bertajuk The State of Food and Agriculture (SOFA) 2007 pula, pengeluaran pertanian bertambah sebanyak 2.3% setiap tahun dan adalah tiga kali ganda lebih besar berbanding tahun 1960-an, dan adalah melebihi pertambahan populasi dunia sebanyak 1.7% setiap tahun. Dan pemakanan manusia bertambah daripada 2,280 kcal bagi setiap seorang setiap hari dalam tahun 1960-an kepada 2,800 kcal bagi setiap seorang setiap hari dalam tahun 2000.
Namun negara-negara membangun dan dunia ketiga kerap dipersalahkan kerana mempunyai pertambahan populasi yang terlalu tinggi walaupun negara-negara industri Barat menggunakan 81% daripada jumlah barangan produksi dunia. Walaupun negara dunia ketiga mempunyai jumlah yang lebih besar kekayaan semula jadi tetapi ia hanya menggunakan sejumlah 3.6% daripada kekayaan semula jadi dunia. Negara industri Barat menggunakan sejumlah 50% daripada simpanan minyak dunia, walaupun mereka hanya mengeluarkan sebanyak 25% daripadanya.
Sistem ekonomi Kapitalis Barat melihat masalah ekonomi dunia sebagai masalah produksi. Oleh itu, bagi mengatasi masalah ekonomi dunia, yang dianggap berlandaskan persoalan produksi, maka sesebuah negara haruslah menekankan aspek produksinya di mana kejayaan atau kegagalan sesebuah negara itu diukur melalui Gross Domestic Product (GDP). Sistem ekonomi Kapitalis langsung tidak menekankan persoalan pengagihan dan jaminan keperluan asasi ‘setiap individu’ manusia.
Kepincangan ini, pada hakikatnya bukanlah termanifestasi hanya di negara termiskin, ia juga berlaku di negara utama kapitalisme, Amerika Syarikat. AS yang mempunyai populasi sebanyak 4% sahaja daripada jumlah penduduk dunia menggunakan sebanyak 25% daripada barangan keperluan dunia, termasuklah makanan. Ini mungkin menyebabkan kita menjangka bahawa penduduk AS mempunyai taraf hidup yang tinggi, namun, menurut sebuah kajian yang dilakukan di World Socialist Web Site (WSWS) bertajuk Hunger and Homelessness Survey pada Disember 2007, keperluan makanan telah bertambah bagi setiap 4 daripada 5 kota di AS. Dan sembilan daripada sepuluh kota di AS memerlukan keperluan perumahan bagi penduduknya yang tidak mempunyai rumah sendiri!
Dalam suatu kajian yang lain oleh U.S. Department of Agriculture bertajuk Household Food Security, ia mengatakan bahawa 35 juta daripada penduduk AS hidup dalam kelaparan dan 12.6 juta dari angka tersebut merupakan kanak-kanak. Ini bermakna, setiap satu daripada lima orang kanak-kanak di AS mengalami masalah kekurangan makanan, sementara 36.5 penduduk AS adalah terdiri daripada golongan fakir-miskin. Dan dalam masa yang sama, AS juga merupakan negara yang paling banyak mempunyai jutawan dan ribu-jutawan berbanding negara-negara lain di dunia.
Benar, masalah kekurangan makanan dan kebuluran memang sedang berlaku di dunia hari ini. Namun, masalah tersebut bukanlah berpunca daripada rendahnya ‘produksi makanan’, tetapi ia sebenarnya berpunca dari masalah ‘pengagihan makanan’.
Adapun mengenai dakwaan bahawa kenaikan harga makanan adalah akibat dari permintaan tinggi terhadap makanan bagi penjanaan bahan api bio, perlulah diperhatikan bahawa penghasilan bahan api bio hakikatnya tidaklah melibatkan makanan seperti beras dan gandum yang merupakan makanan utama bagi kebanyakan penduduk di dunia. Seharusnya, dengan meningkatnya keperluan untuk penghasilan bahan api bio, maka sewajarnya harga minyak mentah menunjukkan penurunan. Namun, ini tidak berlaku – bahkan harga minyak kini telah mencecah USD107 setong! Bandingkanlah dengan harga minyak yang hanya menjangkau USD50 setong sebelum AS menceroboh Iraq lima tahun lepas!
Bagi mereka yang benar-benar prihatin dan ikhlas dalam memikirkan perkara ini, mereka akan dapat melihat bahawa sebenarnya sikap boros, rakus dan tamak negara-negara industri Kapitalis Baratlah yang menjadikan negara dunia ketiga dan negara membangun mengalami krisis ekonomi, dan kini krisis makanan yang begitu kritikal. Segala alasan, termasuklah alasan kurangnya stok makanan dan pertambahan penduduk di dunia ketiga (oleh itu permintaan makanan menajdi tinggi) hanyalah merupakan justifikasi untuk mempertahankan sistem Kapitalis yang sudah rosak dan busuk ini.
Berbeza dengan sistem ekonomi kapitalis yang menekan dan zalim, Islam menitik beratkan pengagihan keperluan asas, termasuk makanan dan kekayaan kepada ‘setiap individu’ dan mengharamkan kekayaan dan keperluan hidup dikuasai hanya oleh golongan tertentu dalam masyarakat seperti syarikat-syarikat multinasional dan golongan yang kaya-raya. Sememangnya di dalam masyarakat akan terdapat golongan yang lemah dan tidak berkeupayaan untuk memiliki keperluan asas untuk hidup, namun Islam telah menggariskan tatacara penjagaan golongan tersebut agar hidup mereka tidak terabai dalam Daulah Islam.
“Dan janganlah harta kekayaan berputar pada golongan yang kaya di antara kamu” [TMQ Al-Hashr: 7]
Setiap manusia mempunyai hak terhadap keperluan hidup seperti makanan, tempat perlindungan dan pakaian dan setiap manusia juga berkongsi dalam kepemilikan mereka ke atas air, bahan api dan tanah pertanian. Pada masa yang sama setiap manusia juga berhak mendapatkan hak-hak mereka secara percuma dalam bidang pendidikan, perubatan dan apa-apa sahaja perkara yang menyentuh hak manusia yang hidup sebagai sebuah masyarakat. Hanya Islamlah yang menjanjikan semua ini, sebagai satu-satunya cara hidup yang benar yang pasti akan membawa rahmat ke seluruh alam.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
1. One in Ten Americans Went Hungry Last Year, By Abid Aslam, IPS News. Posted November 28, 2007 http://www.alternet.org/story/68054/
2. The State of Food and Agriculture (SOFA) 2007 , (ftp://ftp.fao.org/docrep/fao/010/a1200e/a1200e07.pdf) March 2008
3. http://www.pregnantpause.org/overpop/food.htm March 2008.
No comments:
Post a Comment